Penyambung Shopify untuk Grok
Anda boleh menggunakan penyambung Shopify bagi Grok untuk mencipta atau mengurus kedai Shopify tanpa meninggalkan sembang anda, di Grok atau di Grok Bot. Anda boleh memerihalkan perniagaan yang ingin anda mulakan dan mencipta kedai daripada sembang anda sebelum anda mendaftar untuk Shopify, atau anda boleh menyambungkan kedai yang sudah anda miliki.
Penetapan harga pelan Shopify standard digunakan pada kedai yang anda cipta atau jalankan menggunakan Grok, dan tiada yuran Shopify tambahan dikenakan untuk penggunaan penyambung tersebut. Anda membayar apa-apa kos langganan Grok kepada xAI, dan bukannya kepada Shopify.
Pada halaman ini
- Tindakan yang disokong oleh penyambung Shopify untuk Grok
- Pertimbangan untuk menggunakan penyambung Shopify untuk Grok
- Memasang penyambung Shopify untuk Grok
- Menggunakan penyambung Shopify dalam Grok Bot
- Membina kedai anda dengan Canvas daripada Grok
- Mengurus kedai anda daripada Grok
- Mencapai hasil terbaik dengan penyambung Shopify untuk Grok
- Mendapatkan bantuan berkenaan penyambung Shopify untuk Grok
Tindakan yang disokong oleh penyambung Shopify untuk Grok
Untuk bermula, buka Grok dan minta Shopify. Contohnya, anda boleh meminta Grok membantu untuk mencipta kedai Shopify bagi perniagaan lilin buatan tangan anda.
Penyambung ini menyokong tindakan yang berikut:
- Cipta kedai sebelum anda mendaftar: Perihalkan perkara yang ingin anda jual dan penyambung mencipta kedai yang boleh anda lihat dan bina sebelum anda mempunyai akaun Shopify. Rujuk Membina kedai daripada Grok.
- Bina kedai anda: Minta penyambung menambahkan produk, mencipta koleksi, mengemaskinikan harga dan perihalan, atau menukar reka bentuk kedai anda daripada sembang.
- Simpan kedai anda: Simpan kedai anda ke akaun Shopify untuk menjadi pemilik kedai. Untuk melengkapkan persediaan selepas anda menyimpan kedai, rujuk Menyediakan kedai yang dicipta dengan alat AI atau rakan kongsi kod suasana.
- Urus kedai yang anda miliki: Sambungkan kedai yang sudah anda miliki dan kemudian uruskan produk, koleksi, inventori, pesanan, pelanggan, diskaun dan analisis anda. Anda perlu daftar masuk ke kedai Shopify anda dan meluluskan akses untuk Grok.
Perkara yang boleh dilakukan oleh penyambung di dalam kedai anda bergantung pada akses data yang diluluskan oleh anda dan pada kebenaran pengguna anda. Grok menggunakan kawalan aksesnya sendiri juga, jadi sambungan boleh dimatikan dalam tetapan penyambung Grok anda. Untuk menyemak bahagian akses Shopify, rujuk Membenarkan akses alat AI ke kedai anda.
Pertimbangan untuk menggunakan penyambung Shopify bagi Grok
Pentadbir Shopify anda ialah tempat utama untuk menguruskan perniagaan anda. Penyambung boleh membantu anda untuk memulakan kedai dan mengendalikan beberapa tugas, tetapi tidak menggantikan pentadbir Shopify anda atau Sidekick, pembantu perdagangan Shopify yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI).
Alat AI yang disambungkan berfungsi dalam akses data yang diluluskan oleh anda dan sesetengah perubahan pada kedai anda hanya boleh dibuat dalam pentadbir Shopify anda. Semak pertimbangan yang berikut:
- Menyunting tema aktif anda: Alat AI yang disambungkan boleh menukar tema yang tidak diterbitkan, tetapi alat tidak dapat menyunting tema aktif anda, menerbitkan tema atau memadamkannya. Untuk menukar reka bentuk laman kedai anda, gandakan tema anda dalam pentadbir Shopify anda, benarkan alat tersebut menyunting salinan tersebut dan kemudian terbitkan salinan tersebut sendiri.
- Menukar tetapan kedai: Alat AI yang disambungkan tidak dapat menukar tetapan seperti pelan, pembayaran, cukai atau domain anda.
- Menyunting data tanpa akses tulis: Alat AI yang disambungkan boleh membaca data tetapi tidak mengubahnya, melainkan anda meluluskan akses tulis. Akses turut bergantung pada kebenaran akaun kakitangan yang mana alat tersebut bertindak melaluinya. Mengikut rekaan, sesetengah tindakan penyambung bersifat baca sahaja yang dikawal oleh penyedia alat AI.
- Memindahkan wang atau menukar pesanan yang telah dibayar: Alat AI yang disambungkan tidak dapat mengeluarkan bayaran balik, membatalkan atau merekodkan pesanan, menandakan pesanan sebagai telah dibayar, memproses pemulangan atau mencipta dan melaraskan kad hadiah. Tindakan ini disekat walaupun anda meluluskan akses tulis.
- Menukar banyak item pada satu-satu masa: Alat AI yang disambungkan menukar item secara satu per satu, jadi kelompok yang besar boleh terhenti separuh jalan dan sesetengah tindakan hanya meliputi bilangan item yang terhad. Jika kelompok tidak selesai, lengkapkan kelompok tersebut dalam pentadbir Shopify anda.
- Melengkapkan persediaan kedai anda: Alat AI yang disambungkan dapat membantu dengan beberapa tugasan, tetapi pentadbir Shopify anda masih diperlukan untuk pembayaran, cukai, domain dan kesediaan pelancaran.
Memasang penyambung Shopify bagi Grok
Anda boleh menggunakan penyambung Shopify bagi Grok dalam pelayar web desktop dan dalam aplikasi mudah alih Grok.
Penyambung Shopify untuk Grok tidak tersedia pada Shopify App Store. Anda menambahnya dari halaman penyambung dalam Grok. Pemasangan penyambung bermakna anda menyambungkan Grok kepada Shopify, dan anda akan dihalakan semula ke pentadbir Shopify anda untuk meluluskan akses data yang diminta oleh penyambung.
Bagi aliran pengesahan yang penuh, termasuk cara meluluskan tahap akses data, menukar kedai dan membatalkan akses, rujuk Membenarkan akses alat AI ke kedai anda.
Menggunakan penyambung Shopify dalam Grok Bot
Grok dan Grok Bot ialah produk yang berasingan daripada xAI dan penyambung Shopify berfungsi pada kedua-duanya. Halaman penyambung di Grok tidak memasang penyambung untuk Grok Bot. Untuk memasangnya dalam Grok Bot, pergi ke Sambungkan aplikasi dalam aplikasi Grok Bot dan kemudian cari Shopify.
Grok Bot memaparkan tangkapan skrin, jadual, carta dan butang Pasang yang sama seperti Grok, supaya anda boleh mencipta kedai, mengurusnya dan menjual produk digital dengan cara yang sama pada kedua-duanya.
Membina kedai anda dengan Canvas daripada Grok
Anda boleh mencipta kedai Shopify daripada Grok sebelum anda mendaftar untuk Shopify. Perihalkan perniagaan yang ingin anda mulakan dan penyambung akan mencipta kedai serta memberikan pautan untuk melihat kedai tersebut kepada anda. Anda boleh terus membina kedai dalam sembang anda, dan kemudian menyimpannya ke akaun Shopify apabila anda bersedia.
Di Grok, penyambung boleh memaparkan tangkapan skrin kedai anda dalam sembang.
Gunakan prom seperti Ciptakan kedai Shopify untuk perniagaan lilin buatan tangan saya.
Memahami kedai yang belum disimpan
Sehingga anda menyimpannya, kedai anda tidak disambungkan kepada akaun Shopify. Untuk mengelakkan kehilangan kemajuan anda, simpan kedai anda apabila anda bersedia untuk mengekalkannya. Semak butiran yang berikut tentang kedai yang belum anda simpan lagi:
- Kedai bermula dengan tema Canvas.
- Laman kedai dilindungi oleh kata laluan, jadi pelanggan tidak boleh membeli dari laman tersebut.
- Sesiapa sahaja yang mempunyai alamat kedai boleh melihat kedai tersebut dan membuat perubahan padanya daripada alat AI. Kongsi alamat hanya dengan individu yang anda percayai.
- Kedai disediakan untuk negara yang anda berikan kepada penyambung atau untuk Amerika Syarikat jika anda tidak memberikannya. Pembayaran ujian hanya berfungsi apabila negara kedai sepadan dengan negara tempat anda berada.
- Produk yang anda tambahkan ditetapkan pada aktif dan diterbitkan ke kedai dalam talian anda.
- Penyambung boleh menukar apa-apa sahaja yang dilihat oleh pelanggan pada laman kedai anda. Tindakan lain, seperti menyemak pesanan atau analisis, meminta anda untuk daftar masuk terlebih dahulu.
Kedai yang dicipta oleh penyambung merupakan titik permulaan dan bukannya kedai yang telah siap dan kedai ini boleh menyertakan kandungan sampel. Sebelum anda mula menjual, semak dan kemaskinikan nama produk, perihalan, imej, harga, dasar kedai, tetapan pengiriman dan pembayaran serta tetapan domain dalam pentadbir Shopify anda.
Melihat kedai anda
Pautan untuk melihat kedai anda tamat tempoh selepas lebih kurang 30 minit. Jika pautan tamat tempoh, minta penyambung untuk pautan baharu.
Gunakan prom seperti Beri saya pautan baharu untuk melihat kedai saya.
Menambahkan produk dan koleksi daripada Grok
Anda boleh meminta penyambung untuk membina apa-apa sahaja yang dilihat oleh pelanggan pada laman kedai anda, sebelum dan selepas anda menyimpan kedai tersebut. Sebagai contoh, penyambung boleh menambahkan produk, mencipta koleksi, mengemaskinikan harga dan perihalan serta menukar reka bentuk kedai anda.
Gunakan prom seperti Tambahkan tiga lilin beraroma pada harga USD24 setiap satu dan letakkan lilin tersebut dalam koleksi bernama Paling laris.
Mengedit tema anda daripada Grok
Anda boleh meminta penyambung untuk menukar reka bentuk kedai anda, seperti warna, fon, susun atur atau kandungan halamannya. Hal ini berfungsi pada kedai yang belum anda simpan lagi dan pada kedai yang telah anda sambungkan.
Penyambung mengedit fail tema anda dan pengeditan akan kekal berstatus belum selesai sehingga penyambung menyerahkannya (commits). Untuk menyemak pengeditan sebelum diserahkan, minta tangkapan skrin halaman tersebut. Tangkapan skrin menyertakan pengeditan yang belum selesai. Penyerahan akan menyimpan pengeditan sebagai versi baharu dalam sejarah tema anda.
Gunakan prom seperti Jadikan latar belakang pengepala berwarna hijau tua dan gunakan fon serif untuk tajuk.
Tempat pengeditan yang diserahkan disimpan bergantung pada kedai:
- Kedai yang belum anda simpan lagi: Pengeditan disimpan pada tema aktif kedai anda.
- Kedai yang telah anda sambungkan: Pengeditan disimpan pada tema yang tidak diterbitkan, seperti tema yang anda namakan atau salinan tema aktif anda, jadi pelanggan anda tidak akan melihatnya sehingga anda menerbitkan tema tersebut. Untuk menerbitkannya, minta penyambung atau terbitkannya daripada Kedai Dalam Talian > Tema dalam pentadbir Shopify anda. Penyambung sentiasa meminta anda membuat pengesahan sebelum menerbitkan tema.
Menambahkan imej pada kedai anda
Untuk menambahkan imej anda sendiri, berikan penyambung pautan kepada imej di web. Pautan imej mestilah alamat web awam. Untuk menambahkan imej daripada peranti anda pula, simpan kedai, dan kemudian muat naik imej dalam pentadbir Shopify anda.
Menyimpan kedai anda
Apabila anda bersedia untuk mengekalkan kedai, simpan kedai tersebut pada akaun Shopify. Menyimpan kedai akan menyambungkan kedai kepada akaun anda dan menjadikan anda pemilik kedai.
Minta penyambung untuk mendapatkan pautan bagi menyimpan kedai anda, buka pautan tersebut dan kemudian daftar masuk ke Shopify atau cipta akaun Shopify. Pautan simpan mungkin mengambil masa beberapa minit untuk disiapkan selepas kedai dicipta.
Gunakan prom seperti Beri saya pautan untuk menyimpan kedai saya.
Jika anda memilih nama perniagaan atau nama domain yang dicadangkan oleh penyambung sebelum anda simpan, maka pautannya akan menyimpan kedai terlebih dahulu. Pautan tersebut kemudiannya menamakan semula kedai atau membuka pembelian domain dalam pentadbir Shopify anda. Jika pautan simpan belum siap lagi, maka pautan akan memulakan pendaftaran Shopify baharu.
Selepas anda menyimpan kedai, sambungkan penyambung kepadanya untuk terus mengusahakannya daripada Grok. Untuk menyemak cara sambungan berfungsi, rujuk Membenarkan akses alat AI ke kedai anda. Untuk melengkapkan penyediaan akaun anda dan memilih pelan, rujuk Menyediakan kedai yang dicipta dengan alat AI atau rakan kongsi kod suasana.
Mengurus kedai anda daripada Grok
Penyambung Shopify bagi Grok berfungsi dengan kedai yang anda sambungkan kepadanya. Anda boleh bertanyakan tentang kedai yang disambungkan kepada penyambung dan anda boleh menukar kepada kedai lain yang anda miliki. Untuk menyemak cara penyambungan dan penukaran berfungsi, rujuk Membenarkan akses alat AI ke kedai anda. Anda boleh meminta cadangan nama perniagaan dan nama domain sebelum anda menyambungkan atau mencipta kedai.
Perkara yang boleh ditukar oleh penyambung bergantung pada akses data yang diluluskan oleh anda dan pada kebenaran pengguna anda.
Menambah dan menyunting produk
Anda boleh membina dan mengekalkan katalog produk anda daripada sembang anda. Penyambung menyokong tindakan produk yang berikut:
- Cipta produk dengan tajuk, perihalan, harga, varian, pilihan dan penjejakan inventori.
- Kemaskinikan tajuk, perihalan, status, imej, harga varian atau SKU produk.
- Namakan semula pilihan varian, seperti nama warna atau saiz.
- Cari katalog anda mengikut kata kunci, atau buka produk tunggal untuk mendapatkan butiran penuhnya.
- Tetapkan produk kepada aktif, draf atau diarkibkan dalam kelompok sehingga 50 produk, sama ada dengan menamakan produk atau dengan memilih koleksi.
Gunakan prom seperti Tambahkan satu lilin biji vanila pada harga USD24.95.
Namakan produk dan harganya, dan penyambung tersebut akan menulis perihalan serta mencipta produk. Jika anda menyertakan butiran seperti varian, tag atau penjejakan inventori, maka penyambung akan menggunakan maklumat yang diberikan oleh anda dan bukannya menjana butirannya sendiri.
Jika anda masih membuat keputusan tentang perkara yang mahu dijual, terangkan produk atau kategori dan minta cadangan. Penyambung memaparkan produk sampel yang boleh anda semak imbas dan tambahkan ke kedai anda.
Menjual produk digital
Anda boleh menjual fail atau pautan sebagai produk digital daripada sembang anda. Penyambung mencipta produk, melampirkan fail atau pautan dan menghidupkan penghantaran automatik supaya pelanggan yang membeli produk tersebut akan menerima e-mel pautan untuk memuat turun fail atau membuka kandungan terpaut.
Gunakan prom seperti Jualkan PDF corak mengait saya di kedai Shopify saya pada harga USD12.
Langkah-langkah:
- Minta penyambung untuk menjual fail anda dan sebutkan harganya atau beritahu penyambung bahawa fail itu percuma. Untuk menjual pautan pula, berikan URL dan penyambung akan melampirkan URL tersebut tanpa muat naik yang berasingan.
- Jika aplikasi Digital Products belum dipasang pada kedai anda, klik Pasang dalam sembang untuk memasang aplikasi tersebut daripada pentadbir Shopify anda. Tiada skrin kebenaran yang berasingan. Apabila pemasangan selesai, kembali kepada sembang dan beritahu penyambung untuk meneruskan proses.
- Jika anda menjual fail, pilih fail tersebut dalam pemetik fail yang dibuka oleh penyambung dalam sembang. Pelayar anda memuat naik fail secara terus kepada Shopify berbanding melalui perbualan.
- Apabila anda bersedia untuk menjual produk, terbitkannya. Jika penyambung tidak menawarkan untuk menerbitkan produk tersebut, minta penyambung berbuat demikian.
Bagi keseluruhan aliran, termasuk perkara yang perlu disemak dalam pentadbir Shopify anda kemudian, rujuk Menjual produk digital daripada alat AI.
Mencari pesanan
Penyambung membaca pesanan anda tetapi tidak menukarnya. Alat ini menyokong tindakan pesanan yang berikut:
- Senaraikan pesanan baru-baru ini anda berserta pelanggan, jumlah serta status pembayaran dan pemenuhan, sehingga 50 pesanan pada satu-satu masa.
- Buka satu pesanan untuk item barisnya, status pemenuhan, alamat pengiriman dan penjejakannya.
Gunakan prom seperti Paparkan 10 pesanan terkini saya.
Minta pesanan yang diingini oleh anda mengikut nombor, tarikh atau status, dan kemudian tanya tentang satu pesanan untuk mendapatkan butirannya. Untuk menyunting, mengeluarkan bayaran balik atau membatalkan pesanan, gunakan pentadbir Shopify anda.
Menyemak analisis kedai anda
Penyambung menjawab soalan tentang jualan, pesanan, produk, pelanggan dan pemenuhan anda daripada data analisis kedai anda, serta mengembalikan hasil dalam bentuk jadual dan carta. Penyambung membaca data ini dan tidak menukarnya.
Gunakan prom seperti Paparkan jumlah jualan saya dalam tempoh 30 hari lalu, dengan pecahan mengikut produk.
Tanya satu soalan pada satu-satu masa. Soalan yang pendek dan khusus adalah paling sesuai, dan soalan yang melapiskan beberapa perbandingan serta penapis secara bersama-sama boleh gagal atau mengembalikan hasil yang sukar dibaca. Soalan lain yang juga sesuai termasuklah Berapakah purata nilai pesanan saya bulan ini berbanding dengan bulan lepas? dan Berapakah bilangan pelanggan baharu berbanding dengan pelanggan yang kembali yang saya dapat pada bulan ini?
Menguruskan produk ke dalam koleksi
Anda boleh mengumpulkan produk ke dalam koleksi dan menerbitkannya pada kedai dalam talian anda. Penyambung menyokong tindakan koleksi berikut:
- Cipta koleksi manual daripada produk yang anda pilih.
- Cipta koleksi pintar daripada peraturan yang menambahkan produk sepadan secara automatik.
- Kemaskinikan tajuk, perihalan, imej, susunan isihan atau peraturan koleksi.
- Tambahkan produk pada koleksi yang sedia ada.
- Cari koleksi anda atau buka satu koleksi untuk mendapatkan butirannya.
Gunakan prom seperti Ciptakan koleksi Hadiah perayaan dengan tiga produk saya yang paling laris.
Namakan koleksi dan nyatakan produk yang terkandung di dalamnya. Untuk membina koleksi yang mengekalkan dirinya sendiri, perihalkan peraturannya, seperti setiap produk melebihi harga tertentu atau dengan tag khusus.
Menguruskan inventori anda
Penyambung membaca dan menetapkan kiraan stok anda. Ciri ini menyokong tindakan inventori berikut:
- Semak stok untuk setiap varian produk merentasi lokasi anda.
- Tetapkan kuantiti yang tersedia bagi item pada lokasi tertentu berserta sebab seperti diterima, pembetulan atau rosak.
Gunakan prom seperti Berapakah baki lilin biji vanila? dan kemudian Tetapkan kuantiti kepada 40.
Semak kiraan sebelum anda menukarnya. Penyambung membaca kuantiti semasa terlebih dahulu supaya kemas kini berhenti dengan selamat jika kiraan bertukar selepas penyambung membuat semakan.
Mencari pelanggan
Penyambung membaca rekod pelanggan anda tetapi tidak menukarnya. Anda boleh mencari pelanggan mengikut nama, e-mel, lokasi atau tag, dan menyemak kiraan pesanan serta jumlah perbelanjaan setiap pelanggan.
Gunakan prom seperti Paparkan pelanggan saya yang paling banyak berbelanja.
Namakan pelanggan atau perihalkan kumpulan yang anda inginkan. Untuk mengedit rekod pelanggan, gunakan pentadbir Shopify anda.
Mencipta kod diskaun
Penyambung mencipta kod diskaun peratusan. Sesuatu kod boleh digunakan pada seluruh kedai anda, pada produk tertentu atau pada koleksi dan anda boleh menambahkan keperluan pembelian minimum, tarikh mula serta peraturan tentang pihak yang boleh menggunakannya.
Gunakan prom seperti Ciptakan kod diskaun 15% bernama COZY15.
Namakan kod berserta peratusan dan penyambung akan meminta anda mengesahkan tarikh mula dan pihak yang boleh menggunakan kod tersebut. Penyambung mencipta kod tetapi tidak menukar kod yang sedia ada serta tidak mencipta diskaun amaun tetap. Uruskan perkara tersebut dalam pentadbir Shopify anda.
Menggunakan halaman, menu dan data kedai lain
Beberapa bahagian kedai anda tidak mempunyai tindakan khusus dalam penyambung dan sebaliknya penyambung berfungsi dengan bahagian tersebut melalui Shopify Admin API. Perkara ini meliputi halaman, blog, menu navigasi, medan meta, pasaran dan terjemahan anda. Penyambung meminta anda membuat pengesahan sebelum membuat perubahan sebegini.
Gunakan prom seperti Ciptakan halaman Perihal tentang kisah jenama saya dan Tambahkan halaman Perihal saya pada menu utama dan gunakan label Perihal kami.
Nyatakan apa-apa yang mahu dicipta atau ditukar oleh anda dan penempatannya. Hasil adalah lebih pelbagai untuk perubahan ini berbanding dengan tindakan yang mempunyai nama khusus, maka semak perkara yang dibina oleh penyambung dalam pentadbir Shopify anda sebelum anda bergantung padanya.
Menyemak nama tindakan dalam sembang anda
Setiap tindakan yang diambil oleh penyambung mempunyai nama dan nama tersebut dipaparkan dalam sembang anda apabila tindakan itu dijalankan. Semak jadual berikut untuk menyemak fungsi sesuatu tindakan.
| Nama tindakan | Perkara yang dilakukannya |
|---|---|
add-to-collection | Menambahkan produk pada koleksi yang sedia ada. |
bulk-update-product-status | Menetapkan hingga 50 produk pada satu masa sebagai aktif, draf atau diarkibkan. |
create-collection | Mencipta koleksi manual atau pintar dan menerbitkannya pada kedai dalam talian anda. |
create-digital-product | Mencipta draf produk digital untuk fail yang anda muat naik. |
create-digital-product-from-link | Mencipta draf produk digital yang menghantar pautan kepada pelanggan. |
create-discount | Mencipta kod diskaun peratusan. |
create-product | Mencipta produk, termasuk varian, pilihan dan penjejakan inventorinya. |
create_store | Mencipta kedai daripada perihalan perniagaan anda sebelum anda mendaftar dan mengembalikan pautan untuk melihat kedai tersebut. |
find-sample-product | Mengembalikan sampel produk bagi kategori yang dinamakan oleh anda, agar anda boleh menyemak imbas dan menambahkannya pada kedai anda. |
generate-business-names | Mengembalikan cadangan nama kedai untuk perniagaan anda berdasarkan input anda. Pada kedai yang belum anda simpan lagi, pautan nama akan menyimpan kedai pada akaun Shopify anda dan kemudian menamakan semula kedai. Pada kedai yang disambungkan, anda mengesahkan nama dalam pentadbir Shopify anda. Jika anda belum mempunyai kedai lagi, maka pautan akan memulakan pendaftaran Shopify dengan nama tersebut. |
generate-domain-names | Mengembalikan nama domain yang tersedia berdasarkan input anda. Pada kedai yang belum anda simpan lagi, pautan domain menyimpan kedai ke akaun Shopify anda dan kemudian membuka pembelian domain. Pada kedai yang disambungkan, pautan tersebut membuka pembelian domain secara langsung. Jika anda belum mempunyai kedai lagi, maka pautan akan memulakan pendaftaran Shopify dan kemudian membuka pembelian domain. |
get-collection | Mengembalikan tajuk, perihalan, imej, produk dan peraturan satu koleksi. |
get-digital-product | Mengembalikan tajuk, penerangan, harga, status dan imej muka depan bagi satu produk digital. |
get-inventory-levels | Mengembalikan stok untuk setiap varian produk merentasi lokasi anda. |
get-order | Mengembalikan item baris, status pemenuhan, alamat pengiriman dan penjejakan bagi satu pesanan. |
get_preview_store_links | Mengembalikan pautan baharu untuk melihat kedai yang belum anda simpan lagi dan pautan untuk menyimpan kedai pada akaun Shopify anda. |
get-product | Mengembalikan tajuk, status, vendor, varian, imej, tag dan inventori satu produk. |
get-shop-info | Mengembalikan nama, domain, e-mel, pelan, mata wang, zon masa dan negara bagi kedai yang dihubungkan. |
graphql_mutation | Membuat perubahan melalui Shopify Admin API pada bahagian kedai anda yang tidak mempunyai sebarang tindakan khusus. |
graphql_query | Membaca data melalui Shopify Admin API dari bahagian kedai anda yang tiada tindakan khusus. |
graphql_schema | Mengembalikan bahagian Shopify Admin API yang boleh digunakan oleh suatu permintaan. |
list-customers | Mengembalikan pelanggan anda berserta nama, e-mel, telefon, kiraan pesanan dan jumlah perbelanjaan mereka. |
list-orders | Mengembalikan pesanan terbaru anda dengan pelanggan, jumlah serta status pembayaran dan pemenuhan. |
open-digital-products-install | Memaparkan butang Pasang yang membuka pentadbir Shopify anda supaya anda boleh memasang aplikasi Digital Products. |
publish-digital-product | Mengaktifkan produk digital dan meminta penyenaraian Kedai Dalam Talian produk tersebut. |
run-analytics-query | Menjalankan pertanyaan ShopifyQL terhadap data analisis kedai anda. |
search_collections | Mencari koleksi anda mengikut kata kunci atau penapis seperti tajuk atau jenis koleksi. |
search_docs_chunks | Mencari jawapan kepada soalan tentang platform pada dokumentasi Shopify. |
search_products | Mencari katalog anda mengikut kata kunci atau penapis seperti harga, tag atau status. |
set-inventory | Menetapkan kuantiti yang tersedia bagi item pada satu lokasi, berserta sebab bagi perubahan tersebut. |
switch-shop | Bertukar ke kedai lain yang anda miliki dan meminta anda untuk membenarkannya. |
test-digital-products-connection | Menyemak sama ada kedai anda boleh mengakses aplikasi Digital Products. |
theme_bash | Membaca dan mengedit fail tema anda. Pengeditan kekal berstatus belum selesai sehingga diserahkan. |
theme_commit | Menyimpan pengeditan tema yang belum selesai sebagai versi baharu dalam sejarah tema anda. Pada kedai yang belum anda simpan lagi, pengeditan akan disimpan ke tema aktif. Pada kedai yang disambungkan, pengeditan tersebut akan disimpan ke salinan tema anda yang tidak diterbitkan. |
theme_publish | Menerbitkan tema ke kedai dalam talian anda, selepas anda membuat pengesahan. |
theme_screenshot | Memaparkan tangkapan skrin halaman dalam kedai anda, termasuk pengeditan tema yang belum selesai. |
update-collection | Mengemas kini tajuk, perihalan, imej, susunan isihan atau peraturan koleksi. |
update-product | Mengemas kini tajuk, perihalan, status, imej, harga varian atau SKU produk. |
upload-digital-product-file | Membuka pemetik fail supaya anda boleh melampirkan fail boleh dimuat turun pada produk digital. |
upload-digital-product-media | Membuka pemetik fail supaya anda boleh menambahkan imej kulit pada produk digital. |
validate_graphql_codeblocks | Menyemak permintaan Shopify Admin API bagi mengesan ralat sebelum permintaan itu dijalankan. |
Mencapai hasil terbaik dengan penyambung Shopify untuk Grok
Sebut nama Shopify dalam permintaan sembang anda supaya Grok menggunakan penyambung dan bukannya menjawab daripada pengetahuan umum dan pastikan bahawa penyambung dihidupkan untuk perbualan anda. Jika penyambung dimatikan atau jika anda tidak menyebut nama Shopify, Grok mungkin membalas dengan arahan untuk anda laksanakan dalam pentadbir Shopify anda dan bukannya membuat perubahan tersebut untuk anda.
Tumpukan permintaan anda pada satu-satu masa. Khususnya soalan tentang analisis berfungsi paling baik apabila ia pendek dan khusus, jadi kemukakan soalan susulan dan bukannya menggabungkan beberapa perbandingan serta penapis ke dalam satu permintaan.
Mendapatkan bantuan berkenaan penyambung Shopify untuk Grok
Tempat untuk mendapatkan bantuan berkenaan penyambung Shopify untuk Grok bergantung pada sama ada anda menyedari isu tersebut dalam Grok atau dalam pentadbir Shopify anda.
Hubungi xAI untuk isu dengan Grok itu sendiri, seperti log masuk ke Grok, langganan Grok anda, akses penyambung atau Grok tidak dimuatkan. Untuk mendapatkan bantuan daripada xAI, rujuk dokumentasi pengurusan penyambung xAI.
Hubungi Sokongan Shopify untuk isu dengan akaun Shopify atau kedai anda. Untuk pecahan pihak yang patut dihubungi bagi setiap jenis isu, rujuk mendapatkan bantuan dengan kedai yang dicipta menggunakan alat AI atau rakan kongsi kod suasana.
Jika Grok membalas dengan nasihat umum selepas anda meminta penyambung Shopify mengikut nama dan anda mengesahkan bahawa penyambung dihidupkan, maka isu ini adalah dengan akses penyambung dalam Grok dan bukannya dengan kedai Shopify anda.
Jika anda menukar penyambung ke kedai berbeza dan penyambung tersebut terus meminta anda membenarkan kedai yang anda tinggalkan, mulakan perbualan baharu. Perbualan yang bermula sebelum anda menukar kedai boleh terus menggunakan hubungan yang lebih awal.