Jenis-jenis dropshipping
Ringkasnya, dropshipping merujuk pada mana-mana perniagaan yang memenuhi pesanan dengan membeli produk daripada individu atau perniagaan lain dan meminta mereka mengirim produk tersebut kepada pelanggan. Disebabkan takrifan ini sangat luas, ia membolehkan wujudnya pelbagai jenis dropshipping.
Semak jenis dropshipping yang berbeza di bawah untuk mempelajari perkara tersebut dan individu serta perniagaan manakah yang paling sesuai dengannya.
Penjualan semula produk
Apa itu
Jenis dropshipping yang paling lazim ialah apabila sesebuah syarikat mencari produk daripada pelbagai sumber dan menyediakannya untuk pembelian dalam talian semuanya di satu tempat.
Perniagaan ini memudahkan orang awam untuk mencari dan membeli produk tersebut. Selain itu, perniagaan ini biasanya memberikan nilai tambahan melalui ulasan mendalam mengenai produk, kandungan unik tentang produk atau pustaka sumber terurus bagi produk tersebut.
Sesuai untuk siapa
Penjualan semula produk secara langsung sangat bagus untuk seseorang yang mempunyai pengetahuan luas tentang industri atau demografi tertentu. Sebagai contoh, seseorang yang arif tentang perkembangan kanak-kanak boleh mencipta perniagaan dropshipping berkaitan dengan mainan berbeza yang paling sesuai untuk kanak-kanak daripada pelbagai peringkat umur.
Contoh lain mungkin seseorang yang tahu banyak perkara tentang orang yang bekerja dari rumah. Mereka boleh membina kedai yang sarat dengan bekalan pejabat yang unik dan praktikal untuk pejabat di rumah.
Jenis dropshipping ini juga bagus untuk orang yang cemerlang dalam pemasaran. Oleh sebab penjualan semula produk merupakan jenis dropshipping yang lazim, mencari cara untuk menarik minat pelanggan boleh menjadi sukar. Jika anda boleh menghasilkan idea unik untuk memasarkan perniagaan anda, maka anda lebih berkemungkinan untuk berjaya dengan jenis dropshipping ini.
Lanjutan perniagaan
Apa itu
Banyak kedai runcit tidak mempunyai kehadiran dalam talian. Walaupun mereka mungkin menginginkannya, ramai yang tidak mempunyai masa, dana atau pengetahuan untuk meletakkan perniagaan mereka dalam talian. Sesetengah syarikat dropshipping memilih untuk bekerjasama dengan perniagaan ini dan menjadi kehadiran dalam talian bagi pihak kedai runcit ini. Setiap kali perniagaan dropshipping mendapat jualan, syarikat akan meminta kedai runcit tersebut untuk mengirimkan item kepada pelanggan.
Sesuai untuk siapa
Dropshipper yang memilih untuk menjadi lanjutan perniagaan cenderung mempunyai hubungan yang kukuh dengan kedai runcit tersebut. Anda perlu mendapatkan akses kepada tahap inventori dan butiran produk, serta mengambil foto produk yang berkualiti baik. Perkara ini berkesan di bandar yang lebih kecil yang mungkin menyebabkan perniagaan lebih bersedia untuk melihat kepada pengembangan pasaran mereka dan boleh menjadi lebih sukar untuk dilakukan di kawasan luar bandar.
Jenis dropshipping ini memerlukan lebih banyak usaha kerana anda perlu menjalinkan hubungan dengan kedai runcit. Mendapatkan tahap inventori yang sesuai, menulis butiran produk dan mengambil foto produk boleh mengambil masa yang lama. Namun begitu, faedahnya ialah anda menghadapi kurang persaingan melalui akses eksklusif kepada produk kedai runcit tersebut dan boleh bekerjasama dengan mereka dalam penjenamaan serta pemasaran.
Sebagai contoh, perniagaan dropshipping di Smiths Falls, Kanada boleh bekerjasama dengan kedai butik tempatan mereka dan mencipta kehadiran dalam talian yang diurus bagi kedai-kedai tersebut. Kedai runcit tersebut boleh menambahkan laman web itu pada kad perniagaan mereka dan menyertakannya dalam pemasaran mereka sendiri juga.
Contoh lain ialah perniagaan dropshipping di Amsterdam boleh bekerjasama dengan artis yang sedang meningkat naik di bandar mereka untuk membantu artis tersebut menjual karya seni mereka di seluruh dunia. Hal ini membolehkan artis itu memfokuskan usaha pada penciptaan produk mereka dan perniagaan dropshipping tersebut untuk membantu meningkatkan jualan.
Penciptaan produk
Apa itu
Sesetengah perniagaan dropshipping memilih untuk memberkas atau mengumpulkan produk bersama-sama dan menyediakannya untuk pembelian sebagai satu produk. Sebagai contoh, perniagaan dropshipping boleh mencari pembekal yang mempunyai barisan produk bekalan kraf yang besar dan membina kraf mereka sendiri menggunakan bekalan tersebut. Dengan mencipta idea kraf baharu, syarikat dropshipping boleh memberkas bekalan kraf secara bersama-sama dan menjual kit "Buat kraf anda sendiri". Mereka kemudiannya boleh membuat dropship untuk bekalan tersebut dan menghantar e-mel arahan kepada pelanggan atau menyediakan arahan untuk dimuat turun pada laman web selepas pembelian.
Sesuai untuk siapa
Membuat produk baharu dengan menggabungkan produk yang sedia ada boleh menjadi sukar dan memerlukan tahap kreativiti tertentu. Walau bagaimanapun, produk lazim lain yang boleh anda cipta hanyalah berkas produk yang berguna untuk dibeli bersama. Sebagai contoh, kanak-kanak yang kembali ke sekolah mungkin memerlukan semua kelengkapan sekolah baharu dan anda boleh mencipta berkas bekalan sekolah untuk setiap gred atau tahun persekolahan.
Sila beringat bahawa jika anda mencipta produk yang mengandungi produk dropship daripada pembekal berbeza, produk yang berbeza itu akan sampai kepada pelanggan pada masa yang berlainan. Pertimbangkan untuk mencipta produk baharu daripada produk yang datang daripada pembekal tunggal yang membungkus semua produk dalam pesanan secara bersama-sama dalam satu pakej.
Cetak atas permintaan
Apa itu
Cetak atas permintaan ialah sejenis dropshipping apabila syarikat ingin menjual produk yang mempunyai sama ada teks atau imej yang dicetak padanya. Kebanyakan perkhidmatan pencetakan menawarkan pelbagai pilihan produk untuk dicetak, seperti tirai mandi, cawan, mangkuk makanan haiwan peliharaan dan kemeja-T.
Sebagai contoh, sebuah kumpulan muzik mungkin mahu meningkatkan kesedaran mereka dengan menjual produk berserta gambar kumpulan atau hanya nama kumpulan dicetak padanya. Dengan bekerjasama dengan perkhidmatan cetak atas permintaan, mereka boleh memuat naik imej mereka dan setiap kali jualan dilakukan, perkhidmatan tersebut akan mencetak produk dan mengirimkannya kepada pelanggan bagi pihak kumpulan muzik tersebut.
Sesuai untuk siapa
Penjualan cetak atas permintaan memerlukan anda mempunyai idea tentang perkara yang mahu anda cetak pada produk. Selepas anda mempunyai idea anda, anda perlu meletakkannya dalam format yang boleh diterima oleh perkhidmatan pencetakan, biasanya melalui muat naik imej dengan keperluan saiz tertentu.
Sama seperti penjualan semula produk, perkara ini membantu jika anda tahu cara untuk memasarkan produk yang anda cipta. Cetak atas permintaan ialah satu lagi bentuk dropshipping yang lazim dan banyak perniagaan mencetak pada item biasa seperti cawan dan kemeja-T. Jika anda mempunyai akses kepada sekumpulan orang tertentu yang mempunyai minat yang sama, maka dropshipping cetak atas permintaan mungkin pilihan yang sesuai.
Untuk senarai semak mengenai cara untuk mencipta kedai cetak atas permintaan, lihat Menyediakan kedai cetak atas permintaan di Shopify.