Petua untuk menggunakan penjanaan teks Shopify Magic
Petua dan pertimbangan yang berikut boleh membantu untuk menambah baik kualiti teks yang dijana secara automatik, dan membantu untuk memastikan bahawa teks itu sepadan dengan nada serta personaliti jenama anda.
Pada halaman ini
Pertimbangan apabila menggunakan penjanaan teks automatik
Walaupun model Shopify Magic telah diberikan konteks dan arahan yang mencukupi untuk mengambil kira bias semula jadi serta risiko halusinasi model tersebut, ingat perkara yang berikut:
- Tidak semua teks yang dijana oleh model bahasa yang besar (LLM) mempunyai kualiti yang sama, dan kadangkala LLM menjana output yang tidak relevan, tidak masuk akal, atau menyinggung perasaan. Semak output secara teliti untuk memastikan output tersebut tepat dan menepati standard anda. Tanggungjawab anda adalah untuk menyemak semua teks yang dijana sebelum diterbitkan.
- LLM hanya tidak berat sebelah setakat data yang dipelajarinya. Jika data yang digunakan untuk melatih LLM adalah berat sebelah, maka teks yang dijana juga mungkin berat sebelah. Bagi perihalan produk yang dijana secara automatik, anda boleh melaporkan kandungan berbahaya atau berat sebelah yang dijana menggunakan kawalan maklum balas yang disediakan bersama ciri tersebut.
Memilih nada untuk kandungan yang dijana
Nada kandungan kedai anda ialah cara anda menyampaikan personaliti jenama anda dan boleh mempengaruhi perasaan yang mungkin dialami oleh pelanggan apabila mereka membaca kandungan anda. Nada anda seharusnya sepadan dengan maklumat yang anda sampaikan, situasi, jangkaan pelanggan, serta kekal konsisten dengan jenama anda.
Apabila menjana teks automatik dengan Shopify Magic, anda boleh menentukan nada secara terus dalam prom anda. Jika anda tidak pasti nada yang patut digunakan, jalankan eksperimen dengan mencuba perihalan nada yang berbeza dalam prom anda untuk mencari nada yang sesuai dengan produk dan sasaran pelanggan anda.
Yang berikut ialah contoh nada yang boleh anda minta:
- Pakar: Profesional, menggunakan bahasa yang saintifik dan objektif, serta kenyataan fakta.
- Ceria: Bahasa yang menyeronokkan atau unik, termasuk ungkapan lucu dan slanga.
- Sofistikated: Bahasa yang halus, berorientasikan kemewahan yang memikat kehendak pembeli terhadap kualiti dan cita rasa yang tinggi.
- Memujuk: Bersemangat dan memberikan inspirasi, menggunakan bahasa yang memikat deria.
- Menyokong: Mesra, mudah didekati dan bahasa yang terus terang serta berempati dengan pelanggan.
Anda juga boleh memerihalkan nada tersuai dalam prom anda, seperti Tulis dalam nada sarkastik dan kelakar.
Menulis prom yang berkesan
Apabila anda menjana teks dengan Shopify Magic, anda boleh menyertakan arahan secara terus dalam prom anda untuk mengawal perkara seperti panjang, format, nada dan bahasa kandungan. Semakin khusus prom anda, semakin baik hasil yang akan diperoleh.
Berikut ialah beberapa contoh arahan yang boleh anda sertakan dalam prom anda:
- Tulis perihalan produk dalam 40 patah perkataan atau kurang
- Sertakan emoji
- Tulis perihalan dalam bahasa Sepanyol
Jika teks yang dijana tidak memenuhi jangkaan anda, cuba laraskan perkataan prom anda atau jadi lebih khusus. Contohnya, taip Sertakan 5 emoji bukannya Sertakan banyak emoji.
Berikan maklum balas tentang cadangan
Anda boleh memberikan maklum balas kepada Shopify tentang cadangan yang dijana untuk membenderakan apa-apa kandungan tidak sesuai atau berbahaya. Maklum balas anda membantu untuk menambah baik kualiti cadangan yang dijana oleh Shopify Magic.
Langkah-langkah:
- Semasa anda menjana teks automatik, tuding pada kandungan yang dicadangkan, kemudian lakukan salah satu daripada yang berikut:
- Untuk memberikan maklum balas positif, klik butang ibu jari ke atas.
- Untuk memberikan maklum balas negatif, klik butang ibu jari ke bawah.
- Pilih daripada jenis maklum balas pratakrif, kemudian berikan apa-apa butiran tambahan yang ingin anda tambahkan.
- Klik Hantar untuk menyerahkan maklum balas anda.