Memahami tindakan dalam Shopify Flow
Dalam aliran kerja, tindakan ialah tugasan yang dilaksanakan oleh Flow apabila syarat aliran kerja dipenuhi. Tindakan biasa termasuklah menambah tag pada pesanan atau pelanggan, menghantar e-mel atau pemberitahuan Slack, mengemas kini inventori, menahan pemenuhan, membatalkan pesanan dan mencipta pesanan draf. Anda juga boleh mengautomasikan tindakan dalam aplikasi penyambung pihak ketiga yang telah anda pasang, seperti menghantar data ke Google Sheets, Klaviyo atau ShipStation.
Tindakan boleh menyambung kepada apa-apa jenis langkah lain dalam aliran kerja, seperti pencetus, syarat atau tindakan lain. Aliran kerja boleh mengandungi apa-apa bilangan tindakan, dan setiap langkah boleh menyambung kepada apa-apa bilangan tindakan untuk hasil tunggal. Contohnya, jika syarat dipenuhi, anda boleh menyambungkan 5 langkah tindakan yang berasingan apabila anda mahu aliran kerja melakukan 5 perkara pada masa yang sama apabila syarat itu benar.
Pada halaman ini
Memilih tindakan untuk aliran kerja anda
Terdapat banyak tindakan berbeza untuk dipilih bagi menyelesaikan sesuatu tugasan semasa aliran kerja. Memahami tugasan khusus yang boleh diautomasikan dalam Shopify Flow dapat membantu dalam memastikan aliran kerja anda beroperasi dengan betul.
Tindakan merangkumi kategori yang berikut:
- Tindakan kedai: Tindakan ini menukar sesuatu dalam kedai Shopify anda, seperti menambah tag, mengemas kini inventori atau membatalkan pesanan.
- Tindakan komunikasi: Tindakan ini menghantar pemberitahuan yang boleh disesuaikan melalui platform pilihan anda, seperti menghantar e-mel kepada diri sendiri atau pasukan anda, menyiarkan mesej dalam Slack atau menghantar e-mel pemasaran kepada pelanggan anda.
- Tindakan aplikasi: Tindakan ini melakukan tugasan dalam aplikasi yang disambungkan. Pilihan yang tersedia bergantung pada penyambung aplikasi yang dipasang dalam kedai anda. Bukan semua aplikasi mempunyai penyambung yang berkaitan dengan Shopify Flow.
- Tindakan lanjutan: Tindakan ini mengubah suai tingkah laku atau data aliran kerja, termasuklah jenis yang berikut:
- Tindakan dapatkan data: Tindakan ini mengambil senarai data tambahan dari kedai anda yang tidak disediakan secara lalai dalam pencetus aliran kerja untuk digunakan dalam aliran kerja anda. Tindakan ini memanggil pertanyaan dengan set penapis, seperti mendapatkan senarai data produk yang dikemas kini pada hari sebelumnya.
- Tindakan pengagregatan: Tindakan ini melakukan pengiraan pada data senarai dalam aliran kerja, seperti Kira (Count) atau Jumlah (Sum).
- Tindakan gelung untuk setiap (lelaran): Tindakan ini membolehkan anda melaksanakan tugasan pada setiap item yang dikembalikan dalam senarai, di dalam satu gelung.
- Tindakan hantar permintaan: Tindakan ini adalah untuk menghantar dan menerima data daripada GraphQL Admin API Shopify atau API luaran.
- Tindakan tunggu: Sejenis tindakan unik yang menghentikan aliran kerja daripada mengambil langkah seterusnya sehingga tempoh masa yang ditetapkan telah berlalu.
Apabila memutuskan cara untuk melaksanakan tindakan anda semasa membina aliran kerja, semak pertimbangan berikut berdasarkan tugasan yang anda mahu aliran kerja automasikan:
Sahkan data yang disediakan oleh aliran kerja anda
Tindakan memerlukan data untuk berfungsi, dan data tersebut perlu diberikan kepada tindakan sama ada oleh pencetus, atau dengan menyertakan tindakan Dapatkan data semasa aliran kerja. Jika anda memilih tindakan yang tidak menerima data yang diperlukan, maka aliran kerja tidak akan berjalan dan ralat mesej akan dipaparkan. Contohnya, aliran kerja yang bermula dengan pencetus Pelanggan dicipta akan mengimport data pelanggan ke dalam aliran kerja. Jika pencetus ini diikuti oleh tindakan Tambah tag pesanan yang memerlukan data pesanan dan bukannya data pelanggan, maka aliran kerja tersebut akan mengakibatkan ralat data hilang.
Sebab perkara ini penting: Ini merupakan sebab yang biasa mengapa aliran kerja tersuai terputus atau tidak pernah berfungsi sejak dari awal. Sebelum memuktamadkan aliran kerja anda, fikirkan maklumat yang diperlukan oleh tindakan anda untuk melengkapkan tugasan, dan pastikan set data yang diimport dalam langkah terdahulu boleh menawarkan data tersebut.
Sahkan pemasaan tindakan dalam aliran kerja
Aliran kerja beroperasi sebagai satu siri langkah. Disebabkan adanya kanvas seret dan lepas, anda boleh mereka bentuk aliran kerja yang melengkapkan berbilang tindakan secara serentak, atau menyusun aliran kerja tersebut supaya tindakan berlaku secara berturutan. Contohnya, jika syarat A dipenuhi, maka anda boleh mengarahkan aliran kerja melaksanakan tindakan X dan Y pada masa yang sama, atau anda boleh mengarahkan aliran kerja melaksanakan tindakan X, kemudian melaksanakan tindakan Y. Ini boleh menjadi relevan apabila syarat atau tindakan tertentu memerlukan tindakan lain berlaku terlebih dahulu dalam aliran kerja.
Tindakan biasanya berlaku serta-merta apabila sesuatu syarat dipenuhi dan langkah tindakan adalah yang seterusnya dalam aliran kerja, tetapi anda juga boleh mengawal masa tindakan berlaku menggunakan tindakan Tunggu. Ini boleh berguna untuk aliran kerja yang mengautomasikan komunikasi pelanggan, seperti menunggu satu hari sebelum menghantar e-mel pemasaran kepada pelanggan baharu. Cara anda memilih untuk menyusun masa sesuatu tindakan berlaku semasa aliran kerja adalah terpulang kepada anda.
Sebab perkara ini penting: Pemasaan tindakan menentukan masa tugasan dilaksanakan dalam aliran kerja anda. Penyusunan tindakan untuk berlaku secara serentak atau berturutan memastikan bahawa tugasan automatik anda berlaku dalam susunan yang betul dan memenuhi keperluan anda. Contohnya, dengan menggunakan tindakan Tunggu, anda boleh mengawal pemasaan pemberitahuan pelanggan atau tugasan susulan yang lain untuk disesuaikan dengan keperluan anda.
Menambah pemboleh ubah dalam tindakan untuk mengembalikan data dinamik
Pemboleh ubah boleh digunakan dalam langkah tindakan untuk memasukkan data dinamik dalam teks tersuai, seperti dalam e-mel pelanggan. Pemboleh ubah ini diformatkan dalam notasi titik GraphQL Admin API yang sama seperti yang digunakan dalam syarat dan dibalut dengan kurungan berganda {{ }}. Apabila digunakan dalam tindakan, pemboleh ubah bertindak sebagai ruang letak yang mengembalikan nilai khusus bagi pemboleh ubah tersebut berdasarkan data yang disediakan semasa aliran kerja.
Contohnya, dalam tindakan Hantar invois pesanan, medan Subjek untuk e-mel mengandungi pemboleh ubah order.name secara lalai, dan diformatkan sebagai "Invois {{order.name}}". Ini bermakna bahawa apabila e-mel dihantar, baris subjek e-mel akhir akan dibaca sebagai "Invois #1000" atau apa-apa sahaja nombor pesanan berdasarkan nilai tersebut untuk pesanan.
Apabila bersesuaian, anda boleh mengklik Tambah pemboleh ubah untuk mencari pemboleh ubah yang tersedia dalam medan di dalam suatu tindakan. Ini membolehkan anda menyesuaikan kandungan sebarang medan berdasarkan pemboleh ubah yang tersedia untuk tindakan tersebut menggunakan Liquid. Anda juga boleh menambah pernyataan bersyarat dalam kod Liquid menggunakan pemboleh ubah tersebut untuk menyesuaikan masa kandungan dipaparkan.
Contohnya, dalam tindakan Hantar invois pesanan yang sama, anda boleh menambah kandungan yang berikut dalam medan Mesej tersuai, yang mengandungi beberapa pemboleh ubah yang menyertakan nilai dinamik berdasarkan data yang disediakan oleh aliran kerja:
Hello {{order.customer.firstName}}! This is the invoice for order {{order.name}}, which you placed on {{order.createdAt}}.
{% if order.fullyPaid = 'false' %}
Please complete any outstanding payments in the next 5 business days.
{% endif %}Ketahui lebih lanjut tentang penggunaan pemboleh ubah untuk memaparkan atau mengubah bentuk data dalam Shopify Flow.